Dia seorang yang banyak mengajar aku erti kebahagiaan sebentar. Dia seorang yang lebih kuat menghadap takdir diri sendiri. Sakit dia, dia tetap teguh berdiri. Dan apa yang aku lakukan ketika itu, berlawan dengan kehidupan hari harian.
Sewaktu ketika aku gila dengannya. Seringkali aku tuliskan bait bait kata "demi dia aku sanggup lakukan apa sahaja" namun pengorbanan kecil itu. Hanya dibalas dengan penghargaan.
Dan aku hanya teruskan pengorbanan aku jalani hari hari tanpa apa apa makna.
Lama sekali,
Dia hilang, hanya sedikit khabar.
Jodohnya sudah ada. Dan mempunyai sepasang kembar. Mungkin sedikit hiba bila melihat. Tapi melihat dia bahagia, tiada apa yang aku dapat rasakan. Cuma peluang itu leraikan semuanya yang ada dihati.
Susahnya nak langkah bina kerjaya sendiri selepas temui kegagalan, dengan kurang sokongan dengan pilihan aku sendiri. Setiap hari aku berdoa, menangis, sampai hilang tujuan aku untuk seketika cuma.
Kadang aku tak faham, dan aku cemburu melihat sahabat yang pernah seiring, mereka lebih berjaya di kemuncak, aku ini masih bertatih, merangkak membina pencapaian aku sendiri.
Kadang rasa diri ini tak berguna. Kehidupan yang sadis. Apa lagi? Bagai menelan duri setiap hari yang aku rasa. Pedihnya hati aku menahan tangisan. Sedikit pun aku tak luah pada keluargaku sendiri.
"I just want to do what I want!!"
This is what I want to shout at the world. But I can't.
Sebagai anak yang suka pendam, apa yang aku boleh buat untuk dia memahami aku?
Sudah 2 tahun berlalu, aku masih berjuang sendiri, dengan 3 orang kesayangan ku yang telah Tuhanku ambil semula, dan kini aku bergelar anak yatim dalam sekelip mata.
Fikiran aku kusut, air mata mudah mengalir ketika aku sendirian, jejak langkah aku makin goyah. Setelah aku menghabiskan sijil, terdetik hati untuk aku sambung diploma. Dan aku menyesal di hujung perjuangan aku. Lulus atau gagal. Dua pilihan utama yang berlegar - legar dalam fikiran ku. Di samping hubungan sahabat yang ku rasa hampir terlerai. Makin berat, mungkin aku tiada nilai disetiap hubungan yang aku jalinkan.
Aku hampir putus asa, dengan usaha yang kian hampir tempoh penamat. Aku hampir tersungkur di bawah kegagalan yang aku bina sendiri.
Sesaat kemudian aku buka mata aku terus pandang jam pukul 5.16 petang. Aku pejam mata kembali melepaskan lelah. Aku tarik nafas sedalam dalamnya untuk kumpul kekuatan lantas aku bangkit dari katil aku untuk pergi mandi.
Seusai saja siap solat asar aku cari baju yang sesuai untuk majlis khatam alquran. Jubah biru yang agak lusuh dan tudung sarung berwarna hitam. Aku tak cukup masa untuk mengosok pakaian jadi pilihan aku agak terhad.
Hampir saja untuk menyiapkan diri tiba tiba jantung aku seakan akan nak pecah.
"kenapa sekarang??!!" aku berbisik sendirian hampir nak menangis.
Sakit yang aku alami secara tiba-tiba kembali dalam masa yang tak sangka. Aku jatuh melutut perlahan-lahan di tepi katil. Sesak seketika. Aku tenangkan diri biarkan sakit hilang sendiri.
Aku pandang sekilas 3 orang roomate ku. Masing-masing sudah siap. Tak ingin terlewat ke masjid aku siap seperti biasa seolah olah kejadian tadi tak terjadi.
Mereka pergi dulu.
"Ah terlewat dah ke?"
Lantas aku bergegas ke masjid. Sampai destinasi aku ke ruang kosong dah aku bernasib baik majlis belum dimulakan lagi. Aku memilih tempat yang bertiang untuk aku bersandar.
Majlis pun bermula. Aku buka Alquran yang aku bawa sendiri dengan iringan bacaan surah-surah sudah dimulakan, lama kelamaan mata aku berat. Ngantuk yang teramat. Makin lama makin kelam dan akhirnya aku tewas dalam kepenatan.
Sayup-sayup aku terdengar bacaan doa, aku tersedar. Majlis hampir tamat. Aku melepaskan keluhan.
Waktu magrib berkumandang, kami berbuka bersama buat kali terakhir.
#2
Untuk cerita ni aku dah lama peram dan tak aku tak ingat langsung apa jadi. Sebab apa, masa tu aku sakit, makan ubat bertahun, terus aku tak ingat apa benda yang aku nak tulis. Mungkin setakat itu sahaja kisah derita aku yang aku boleh share. Maaf.
Andai saja aku boleh undurkan masa. Tentu saja aku habiskan cerita ini. Untuk aku ingat apa yang aku lalui waktu waktu aku sakit.
Sudah masuk 3 hari kepala aku macam nak meletup. Rasa macam nak tumbang tapi aku masih gagah berdiri walaupun terumbang ambing. Payah nak ke klinik sebab klinik adalah musuh utama aku. Tak tahu kenapa tapi mungkin sebab aku pernah disakiti oleh orang-orang yang bernama doktor. Tak betul? Sakit aku macam tak betul. Tapi aku rasa sakit. Akhirnya aku pasrah dengan kesakitan yang dianggap buat buat.
Malangnya hari ini aku hampir dilanggar oleh kereta kerana salah aku berjalan sambil menghadap kebawah menahan rasa sakit kepala yang tiba-tiba muncul di pagi hari. Kebiasaannya aku rasakan petang dan malam hari. Nasibku baik kawan-kawan sempat tegur menyedarkan aku.
Bersyukur masih ada yang berikan perhatian dekat aku. Sepanjang masa aku hanya bersendirian, tiada tempat nak bergaduh manja antara kawan-kawan. Masing-masing jauh dengan latihan industri. Tak lama lagi giliran aku pula.
Masih sakit.
Harap sakit ni hilang untuk besok hari. Aku taknak ke klinik hanya kerana alasan yang konyol. Semoga esok baik baik saja.
Sering diri ini terlupa rutin yang lama menulis kisah-kisah menarik supaya memori tak mudah pudar. Jika tidak adanya bencana yang kita semua lalui kini mesti aku tidak semerana ini tapi semakin hari aku sedar dunia tak lagi seperti dulu.
Dunia hari ini mungkin peringkat akhir bagi kehidupan manusia cuma tak tahu bila akan hancur semuanya, diri ini sentiasa takut dosa-dosa tak diampuni, resah bila memikirkan amalan cukup atau tidak untuk melepasi titian sirat di alam terakhir nanti. Semoga Dia Yang Esa mempermudahkan segalanya.
Aku ada draft tentang kisah mungkin yang terakhir #2. Tapi setelah memeram cerita itu terlalu lama aku terlupa derita apa yang lalui. Untuk nak ingat kembali apa yang terjadi otak aku kosong secara tiba-tiba, sebab itu adalah permulaan pertama aku berubah drastik 360° darjah
Sejak melangkah kaki ke dunia luar, aku kenal erti kentalkan jiwa tapi aku gagal diseparuh jalan, hati aku jadi luluh dan pudar nak teruskan perjuangan setiap hari. Sifat aku tidaklah seceria seperti selalu tapi bila dimata orang lain akulah orang yang seriang-riangnya. Tapi dalam diam aku tewas, aku jatuh sakit gara-gara sakit dijiwa dan masalah dikepala tidak diselesaikan dengan betul.
Terkadang aku rasa malu kenapa aku menyusahkan orang keliling aku dan merisaukan keluarga yang jauh dari mata. Tugas aku disini mudah saja hanya perlu belajar tapi merumitkan dengan perkara tak penting.
Aku cuba dapatkan bantuan tapi tak pernah terselesaikan, ada yang bantu tapi caranya merumitkan diri aku sendiri. Entah bagaimana tiba-tiba suatu hari aku berhubung kembali dengan sahabat baik aku, sebelum itu hubungan kami agak tawar kerana kesilapan aku tapi kini Allah sekelip mata sahaja merapatkan kembali hubungan kami.
Dekat 2 tahun sahabat aku merajukkan diri, tapi sekarang mungkin dia lebih tenang untuk maafkan aku. Dia bekerja sebagai Medical Assistant, dia tahu apa yang pesakit akan alami seperti aku. Nasihat yang paling berkesan dia bagi adalah
"Engkau kena bergantung dekat diri kau sahaja kalau nak sembuh"
Aku terdiam bila dia nasihatkan begitu. Hati aku jadi ngilu. Ya, aku sedar, hanya aku seorang saja faham diri aku sendiri. Sebab tu aku hanya "follow the flow". Aku rawat diri sendiri supaya tak jatuh sakit lagi sebab tu aku terlupa apa yang aku ada dulu.
Aku terlupa akan perkara semalam.
Aku terlupa akan tahun ini.
Aku terlupa janji yang pernah aku tanam.
Aku terlupa adanya sahabat.
Maaf aku terlupa banyak perkara.
Makan masa untuk aku nak coretkan kembali blog aku dengan kisah hidup yang semakin tawar. Rutin tidur aku pun tak teratur buat masa ni takut akan mimpi yang kelam lagi. Harap aku dapat kejar masa untuk coretan lagi disini.